Thursday, December 6, 2012

Pasaran Hartanah Kediaman Dijangka Kekal Menggalakkan Pada Tahun Depan, Kata OSK


 
Pasaran hartanah kediaman dijangka kekal menggalakkan pada tahun depan apabila para pengguna mulai memberi fokus pada rumah mampu dimiliki.
 
OSK Research Sdn Bhd berkata kenyataan bahawa kebanyakan projek perumahan yang dilancarkan baru-baru ini melibatkan rumah mewah, memberi isyarat bahawa kitaran pembinaan rumah mewah menghampiri penghujung dan para pemaju cuba menguasai baki permintaan sebelum sentimen mendapatkan rumah mewah mulai pudar.
 
“Seterusnya, kami menjangka para pemaju mengalihkan perhatian kepada segmen pasaran perumahan yang besar bagi meraih permintaan tinggi dari pembeli muda yang pertama kali membeli rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Peralihan itu semakin jelas apabila pemaju rumah mewah seperti SP Setia dan Mah Sing mengambil alih tanah yang luas di Lembah Klang bagi membangunkan kawasan perbandaran sedemikian yang menawarkan perumahan mampu dimiliki.
 
“Bagi pemaju yang masih fokus pada pasaran mewah, kami melihat mereka menawarkan unit rumah yang lebih kecil dengan matlamat menjadikan harga seunit kelihatan lebih mampu dimiliki,” katanya.
OSK mengekalkan saranan “neutral” pada sektor hartanah kerana kaunter hartanah condong menunjukkan prestasi kurang baik atau menunjukkan prestasi apabila sentimen menjadi lembap.
– BERNAMA

0 comments:

Post a Comment