Wednesday, December 12, 2012

Hiasan Taman Yang Boleh dimakan..


Balkoni dan birai tingkap boleh dijadikan ruang untuk memulakan taman herba, khususnya jika anda tidak banyak pilihan.Tidak perlu ada kebun untuk menuai hasil herba anda sendiri. Dengan sedikit perancangan dan imaginasi, anda pasti terkejut bagaimana pelbagai herba boleh hidup subur di ruang terhad yang anda miliki.

Walaupun kebanyakan tanaman herba memerlukan cahaya yang banyak namun terlalu banyak juga tidak berapa baik.Jika balkoni anda menerima cahaya matahari sepanjang hari, sekatlah ia jika terlalu panas dengan menggunakan bidai buluh, misalnya.

Dalam pada itu, jika cahaya matahari tidak terkena terus kepada tanaman anda sekalipun, haba yang diserap oleh dinding konkrit masih boleh dibebaskan sepanjang hari.Persekitaran seperti itu mungkin terlalu ekstrem untuk herba hidup dengan selesa.

Untuk menyelesaikan masalah ini anda boleh mencipta apa yang dipanggil iklim mikro iaitu menggunakan herba-herba yang lebih tahan lasak untuk mengubahsuai atau melindungi persekitaran supaya lebih sesuai dengan herba-herba yang lebih sensitif.

Taman Herba Di Balkoni
Ada banyak herba yang boleh anda tanam di dalam pasu di balkoni. Misalnya pandan, pokok kari, serai, cili, kunyit, halia, daun kesum dan pelbagai lagi.Untuk mengelakkan radiasi haba dari dinding konkrit, tempatkan herba-herba yang lebih besar dan tahan lasak untuk melindungi herba-herba yang lebih kecil dan sensitif.
Bagaimanapun pastikan semuanya mendapat cahaya matahari yang mencukupi.

Pokok-pokok herba yang popular dan agak besar adalah seperti limau kasturi, pokok kari dan serai. Ada juga tanaman baru yang mula popular seperi epal vietnam dan ceri siam.Kedua-dua tanaman ini mempunyai buah dan pasti akan menjadi kegemaran anak-anak.

Balkoni yang menghadap ke selatan atau utara mungkin mempunyai kelebihan dari segi penerimaan cahaya matahari.Bagi herba-herba yang memang berasal dari kawasan tropika, ia tidak ada masalah. Tetapi jika anda menanam sesuatu yang berbeza, penjagaan lebih rapi mungkin diperlukan.

Taman Herba Di Birai Tingkap
Anda boleh menanam beberapa jenis herba di dalam rumah asalkan ia tidak berhawa dingin kerana kebanyakan tanaman herba cenderung untuk mengering di suhu yang rendah.Suhu rendah menyebabkan tanaman berhenti menyerap air dan akhirnya layu.
Tingkap anda sedikit sebanyak menerima cahaya matahari.Cahaya yang mengadap utara adalah ideal, tetapi tidak bermakna tingkap mengadap arah lain tidak sesuai menjadi lokasi taman herba anda.

Apa yang anda perlu tahu adalah berapa banyak matahari yang sampai melalui tingkap anda. Jika terlalu banyak gunakan jaring-jaring untuk mengurangkannya.Anda boleh buat jaring-jaring menggunakan kayu atau gunakan saja jaring nyamuk.

Jangan lupa buka tingkap bagi membolehkan udara panas tidak terperangkap.
Herba-herba yang sesuai untuk birai tingkap adalah seperti pegaga, sadri, cekur dan sebagainya.
Jika ruang birai tidak cukup, anda boleh menggantung herba anda.

Bekas Dan Pasu
Anda boleh pilih bekas yang sesuai untuk tanaman herba anda. Anda boleh gunakan pasu tanah liat, atau pasu seramik yang dihias cantik. Jika inginkan yang ringan, gunakan bekas plastik.Biar bekas apa pun yang anda pilih, pastikan ia mempuyai lubang air kerana kebanyakan tanaman herba sensitif dengan air yang bertakung di kawasan akar.Letakkan dulang air di bawah pasu atau bekas tanaman anda supaya air lebihan dapat diuruskan dengan sempurna.

Anda juga boleh menggunakan kristal untuk tanaman seperti pandan bagi menyegarkannya di dalam pasu. Kristal-kristal ini boleh digunakan selama lebih kurang 2 bulan.Mengenai saiz bekas atau pasu, tanaman-tanaman berjangka hayat pendek tidak perlu yang besar. Sesuatu yang berdiameter 6 inci sudah memadai.
Bagaimanapun untuk herba-herba yang hidup lama seperti pokok kari, serai dan pandan, bekas kenalah besar, seelok-eloknya lebih dari satu kaki diameter.

Tanah Campuran
Pada dasarnya, pokok-pokok herba hidup subur di dalam tanah campuran yang bersaliran baik.
Anda boleh mendapatkan tanah campuran yang mengandungi vermiculite atau perlite untuk herba anda di pasaraya-pasaraya besar atau pun nurseri.Pastikan anda menukar tanah campuran dengan yang baru setiap kali menanam semula.-Senihias

0 comments:

Post a Comment